Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
Last Update: 25 May 2017
Version 8.0.2
Tebatan banjir tiga kampung di Santubong dilulus
Posted on : 05 Mar 2017  Source of News: Utusan Borneo Online
 
 Wan Junaidi (tiga kiri) bersama wakil JPS dan ketua masyarakat ketika meninjau kawasan perparitan Kampung Sungai Bedaun Kuching, semalam.
TINJAU KAWASAN: Wan Junaidi (tiga kiri) bersama wakil JPS dan ketua masyarakat ketika meninjau kawasan perparitan Kampung Sungai Bedaun Kuching, semalam.

Kesemua projek akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap antara dua dan tiga bulan

KUCHING: Sejumlah RM1.2 juta diluluskan bagi menjalankan projek tebatan banjir tiga kampung di kawasan Santubong iaitu Kampung Sungai Lumut, Kampung Sungai Bedaun dan Kampung Sungai Batu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesemua projek mendapat kelulusan serta-merta (fast track) di ketiga-tiga kampung itu akan dimulakan dalam masa terdekat yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk disiapkan.

“Ekoran ban tidak diselenggara dengan baik di kawasan ini, ia telah mengakibatkan ketiga-tiga kampung ini terjejas oleh air pasang dan banjir akibat hujan lebat yang tidak berhenti.

“Justeru, kita mengambil serius perkara ini dan peruntukan telah diluluskan bagi menjalankan kerja penaiktarafan termasuk meninggikan parameter ban serta membina struktur ‘rock dumping’ di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak kerja penambahbaikan pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri di Kampung Sungai Bedaun, dekat sini, semalam.

Jelasnya, projek berkenaan diletakkan di bawah disegerakan berbanding proses biasa yang memakan masa sekurang-kurangnya empat bulan untuk disiap kerana dikhuatiri berlaku air pasang besar dalam tempoh pembinaan, ketiga-tiga kampung itu masih dinaiki air.

“Dalam keadaan sedemikian, dengan kuasa ada pada saya, projek ini diluluskan untuk dimulakan segera dan kita tidak mahu menunggu lama kerana bimbang banjir akan berlaku pada bila-bila masa sahaja,” jelasnya.

Kos agihan untuk projek tebatan banjir itu, jelasnya, adalah berdasarkan keperluan di kampung itu sendiri di mana Kampung Sungai Batu diperuntukkan sebanyak RM480,000, Kampung Sungai Bedaun (RM446,700) dan Kampung Sungai Lumut (RM243,300).

“Ini baharu kos sebahagian mengambil kira projek tebatan dilaksanakan di kawasan yang ada penempatan penduduk dan ini diberi keutamaan terlebih dahulu.

“Untuk fasa kedua pula kita akan meneruskan projek sama bagi kawasan luar dari kawasan penempatan penduduk di kampung sama,” ujarnya.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Pegawai JPS Kuching/Samarahan Ir Irwandee Reduan dan ketua-ketua masyarakat.