Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
Last Update: 27 Mar 2017
Version 8.0.1
Penduduk di kawasan berisiko banjir disaran cari penempatan baharu
Posted on 05 Mar 2017

KUCHING: Penduduk terutama mereka yang tinggal berdekatan dengan sungai serta berisiko banjir disaran untuk mencari kawasan penempatan baharu yang lebih selamat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah ini merupakan yang terbaik bagi penduduk daripada terus menjadi mangsa banjir setiap kali musim tengkujuh.

“Banjir teruk yang sedang berlaku di kawasan pedalaman Sarawak ketika ini terutama di Baram adalah disebabkan limpahan air hujan yang tidak dapat ditampung oleh sungai-sungai yang semakin cetek.

“Jadi, tidak kira tebatan apa kita buat sekali pun, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang positif jika sungai-sungai kita terus cetek dan simpanan sungai tidak dijaga dengan baik.

“Sehubungan itu, nasihat terbaik yang boleh kita berikan kepada masyarakat adalah supaya mereka mencari kawasan penempatan baharu yang selamat untuk dicadangkan kepada kerajaan negeri bagi tujuan penempatan semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 Peringkat Parlimen Santubong di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Demak Laut dekat sini semalam.

Wan Junaidi berkata, banjir yang sedang berlaku di pendalaman Sarawak terutama Baram menjejaskan kira-kira 10 kawasan kampung susulan hujan lebat berterusan.

Keadaan yang sama turut berlaku di Semenanjung Malaysia dan sebahagian besar kawasan di Pahang dan Terengganu yang kemungkinan besar adalah fasa terakhir banjir mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). 

Terdahulu pada majlis itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyampaikan baucar BR1M kepada 172 penerima fasa pertama bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dan Pantai Damai dalam Parlimen Santubong.

Keseluruhannya, seramai 14,366 permohonan BR1M diluluskan bagi kawasan Parlimen Santubong dengan peruntukan mencecah RM5.74 juta. 

Penerima bagi DUN Tanjong Datu terdiri daripada seramai 6,962 orang, manakala keseluruhan penerima bagi DUN Pantai Damai dan Demak Laut adalah masing-masing 3,677 dan 3,727 orang.

Turut hadir pada majlis itu semalam isteri Wan Junaidi iaitu Datin Sri Feona Norjanah Junaidi serta Pegawai Daerah Kuching Ibrahim Kipli.

Source of News: Utusan Borneo Online