Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
Last Update: 25 May 2017
Version 8.0.2
Banjir: Beberapa kawasan di bandar Sibu masih dinaiki air
Posted on : 04 Mar 2017  Source of News: Utusan Borneo Online
 

SIBU: Paras air Sungai Rajang di Jalan Lanang melepasi paras amaran setakat jam satu petang tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman web ihydro.did.sarawak.gov.my dipetik berkata Sungai Rajang telah mencatat kenaikan di lokasi Stesen Maritim Sarawak setinggi 3.03 meter (m) melepasi paras amaran 2.95 m.

Manakala, laporan juga menunjukkan paras Sungai Rajang di Stesen Terminal Ekspres di Jalan Khoo Peng Long di sini hampir memasuki tahap waspada 2.50 m, iaitu bacaan paras air sungai terkini adalah 2.37 m.

Tinjuan Utusan Borneo mendapati, kenderaan yang melalui Jalan Lanang di kedua-dua arah bertentangan terpaksa bergerak perlahan akibat air Sungai Rajang melimpah masuk ke jalan terbabit.

Beberapa batang jalan sekitar Jalan Lanang seperti Jalan Tekam, Jalan Kwong Tung, Jalan Nyatoh dan Jalan Adam turut dinaiki air.

Manakala, pada sebelah pagi Jalan Salim-Stabau masih ditenggelami air. Selain Jalan Salim-Stabau, turut difahamkan terjejas ialah Jalan Sungai Assan.

Sementara itu, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee telah meminta agensi yang berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba, PDRM, majlis kerajaan tempatan dan pelbagai agensi lain supaya dalam keadaan bersiap-sedia untuk sebarang kemungkinan buat masa kini.

"APM akan melakukan pemantauan di beberapa kawasan rumah panjang yang terjejas, manakala Pejabat Daerah Sibu dan Jabatan Kebajikan akan terus berhubung dengan Tuai Rumah yang terjejas, untuk memeriksa sebarang keperluan termasuk bekalan makanan.

"Orang awam boleh menghubungi Bilik Gerakan iaitu 084-340455 untuk sebarang maklumat lanjut," katanya.

*** Gambar-gambar menunjukkan suasana di kawasan terjejas.