Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
Background: 1 Background: 2 Background: 3 
Last Update: 28 Jun 2017
Version 8.0.2
Benteng pemecah ombak Kuala Baram RM25 juta
Posted on : 07 Apr 2017  Source of News: Utusan Borneo Online
 
 Lokasi yang dicadangkan untuk projek terbabit.

DI SINI: Lokasi yang dicadangkan untuk projek terbabit.

MIRI: Konsep moden benteng pemecah ombak di Pantai Batu Satu Kuala Baram bernilai RM25 juta, menjadi projek pengawalan hakisan pantai kedua di negara ini.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata, peruntukan dilulus dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengemuka reka bentuk sebelum memulakan projek terbabit pada awal 2018 serta dijangka siap pada pertengahan 2019.

“Setelah siap nanti, projek ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada para nelayan di sini, malah bakal menjadi mercu tanda salah satu lokasi pelancongan yang menarik orang dari luar Miri untuk datang ke sini.

“Kita turut merancang menjadikan Pantai Batu Satu sebagai tempat destinasi pelancongan pelancong dalam dan luar Miri bukan sahaja membeli tangkapan laut segar tetapi melihat cara penangkapan ikan secara tradisional oleh nelayan serta boleh menikmati hidangan laut disedia secara terus di sini kelak,” jelasnya.

Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Kementerian Pelancongan untuk tujuan pelancongan tersebut.

Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata demikian kepada pemberita, selepas mengadakan lawatan ke tapak projek di Pantai Batu Satu Kuala Baram,di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai JPS Malaysia Mohd Sor Othman, Pengarah JPS Sarawak Chok Moi Soon, Jurutera JPS Bahagian Miri Hidayati Ismail dan Ketua Kaum Kampung Batu Satu Yusup Sulaiman.

Jelas Lee, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluluskan peruntukan RM1.3 juta pada Mei tahun lalu untuk melaksanakan benteng pemecah ombak.

Bagaimanapun katanya, cadangan benteng itu tidak sesuai dan peruntukan turut tidak mencukupi.

“Justeru melalui JPS, kita kemuka pelan baharu dengan reka bentuk dan ciri keselamatan lengkap serta terkini dengan kos RM25 juta,” ujarnya.

Jelasnya, projek itu akan memberi manfaat kepada lebih 100 nelayan di kawasan berkenaan.

Kata Lee, konsep reka bentuk JPS tersebut merangkumi benteng pemecah ombak sepanjang 100 meter dan 150 meter panjang bagi pemecah gelombang laut (breakwater) serta masih mempertimbangkan cadangan daripada para nelayan termasuk kemudahan serta ciri keselamatan diperlukan.

Tambah Lee, JPS perlu memperincikan reka bentuk berkenaan sebelum melaksanakannya agar kerja yang dilakukan pada awal tahun depan berjalan dengan lancar.

Sementara itu, salah seorang wakil nelayan Abdul Mutalib Jaluddin berharap JPS akan mengkaji reka bentuk projek terbabit termasuk melihat jarak cadangan antara air pasang dan pada paras tinggi serta rendah.

Jelasnya, ia bagi memudahkan bot-bot nelayan menghampiri pinggir pantai dan seterusnya ditarik naik ke darat kelak.

Mutalib mewakili nelayan lain turut berterima kasih kepada kerajaan khususnya Datuk Lee yang berusaha merealisasikan projek tersebut demi manfaat nelayan serta penduduk sekitarnya.